Iklan Header

Berita Semasa - Bayaran Pengeluaran i-Akaun KWSP Dikreditkan Bermula Hari Ini


Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan bayaran pengeluaran i-akaun yang telah diluluskan akan dikreditkan ke dalam akaun bank ahli yang telah memohon bermula pada 04 Mei sehinggalah 18 Mei 2020.

Alizakri Alias yang merupakan Ketua Pegawai KWSP berkata, ahli akan dimaklumkan melalui kemudahan i-Lestari Online sejurus sahaja selepas bayaran dikreditkan ke dalam akaun bank mereka sekiranya akaun milik mereka aktif dan tidak dibekukan.

Menurutnya lagi, tarikh sebenar wang tersedia dalam akaun bank ahli bagi tujuan pengeluaran adalah tertakluk kepada proses pelepasan bayaran daripada pihak bank individu masing-masing yang mungkin akan mengambil tempoh selama satu hingga tiga hari daripada tarikh KWSP melakukan pemindahan.

"Sejak pelancaran i-Lestari yang dilakukan pada awal bulan April 2020, pihak kami telah meluluskan lebih 3.51 juta permohonan yang berjumlah RM1.66 bilion."

"KWSP telah mengadakan perbincangan secara mendalam dengan pihak bank rakan kongsi sepanjang bulan lalu bagi memastikan sistem dan infrastruktur mereka bersedia untuk menerima serta memproses sejumlah besar deposit pada satu-satu masa."

"Lanjutan daripada perbincangan tersebut, kemi telah bersetuju bahawa kaedah terbaik dan yang paling selamat adalah melalui pindahan dana harian secara berperingkat daripada KWSP ke institusi kewangan. Jika kesemua proses ini berjalan dengan lancar, dijangka keseluruhan proses ini bakal diselesaikan dalam masa dua minggu atau lebih awal lagi," katanya.

Selain itu, beliau turut berkata bahawa pihak KWSP sangat memahami keperluan mendesak ahli untuk menggunakan wang bagi menghadapi waktu yang mencabar ketika ini walaupun terdapat sedikit kegusaran pengeluaran i-Lestari akan mengurangkan simpanan persaraan mereka.

"Kami berharap ahli telah berfikir secara teliti dan mendalam sebelum memutuskan jumlah yang bakal dikeluarkan daripada Akaun 2 mereka kerana mereka perlu mengimbangi keperluan tunai semasa dengan keperluan untuk memiliki kewangan yang stabil dan kukuh pada masa hadapan."

"Setelah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan, kami menggesa kepada ahli agar membuat temu janji dengan Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan yang akan membantu mereka mengkaji serta merangka semula rancangan persaraan mereka," katanya.

Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan kemudahan pengeluaran caruman akaun dua KWSP berkuatkuasa bermula pada 1 April 2020 bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat.

Inisiatif pengeluaran menerusi i-Lestari tersebut tertakluk kepada jumlah RM500 sebulan selama 12 bulan yang melibatkan pencarum berusia di bawah 55 tahun.

Sumber : Sinar Harian


Post a comment

0 Comments