Iklan Header

Berita Semasa - Pelbagai Bantuan Untuk Rakyat Malaysia Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2020


Pada 27 Februari yang lalu, telah berlangsungnya sebuah majlis Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 "Memperkukuh Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan" yang telah dibentangkan sendiri oleh Perdana Menteri Interim kita iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad. Tujuan pembentangan ini adalah untuk meningkatkan semula ekonomi negara Malaysia yang terjejas akibat daripada penularan wabak COVID-19 ke seluruh dunia.

Akibat daripada penularan COVID-19 ini, ianya telah memberikan kesan yang sangat besar kepada ekonomi negara kita terutama sekali daripada sektor perlancongan kerana ianya telah mengakibatkan pengurangan kehadiran para pelancong ke dalam negara kita.

Bagi menangani permasalahan ini, pihak kerajaan telah mengambil tiga inisiatif bagi meneruskan sistem ekonomi negara yang lebih berdaya saing dan sekaligus membantu rakyat negara kita untuk mendapatkan kemudahan dan ganjaran yang sepatutnya. Inisiatif yang pertama adalah memudahkan aliran tunai bagi perniagaan yang terkesan dengan penularan COVID-19 ini. Kedua, bantuan kepada individu yang terjejas dan ketiga merangsang permintaan dalam industri perlancongan.

Berikut adalah antara intipati Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang telah diumumkan baru-baru ini:

1. Bayaran RM600 kepada Pemandu Teksi, Bas, Pelancong dan Beca...

Kerajaan mengakui kadar ketibaan pelancong yang berkurangan telah memberikan impak negatif kepada pihak-pihak yang bergantung kepada industri pelancongan. Pihak kerajaan  akan memberikan bayaran secara one-off sebanyak RM600 kepada pemandu teksi, pemandu bas persiaran dan pemandu pelancong serta penarik beca yang berdaftar.

2. Elaun khas bagi Pegawai Perubatan dan Jabatan Imigresen mulai Februari 2020...

Sebagai tanda penghargaan kepada petugas awam barisan hadapan di dalam memerangi gejala COVID-19, pihak kerajaan akan memberi elaun khas sebanyak RM400 sebulan kepada doktor serta kakitangan perubatan dan RM200 kepada Imigresen dan kakitangan lain yang terlibat. Bantuan elaun khas ini berkuatkuasa Februari 2020 hingga wabak ini berakhir.

3. Subsidi RM50 juta untuk kursus jangka pendek dalam bidang digital dan berkemahiran tinggi...

Kerajaan juga seterusnya akan memperutukkan RM50 juta untuk subsidi pembiayaan kursus jangka pendek dalam bidang digital dan berkemahiran tinggi. Insentif ini dijangka memberi manfaat kepada 100,000 rakyat Malaysia.

4. Caruman KWSP dikurangkan daripada 11 peratus kepada 7 peratus...

Kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikurangkan sebanyak empat peratus iaitu daripada 11 peratus kepada 7 peratus. Ini bermakna, RM10 bilion akan kekal di tangan pencarum berkuatkuasa sehingga akhir tahun ini.

5. Bayaran BSH diawalkan dan penambahan sebanyak RM150...

Pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) bulan Mei sebanyak RM200 akan diawalkan ke bulan Mac 2020. Kerajaan juga akan membayar kepada setiap penerima BSH tambahan sebanyak RM100 dikreditkan ke dalam akaun bank pada bulan Mei dan seterusnya tambahan sebanyak RM50 akan disalurkan melalui kaedah e-tunai.

Melalui inisiatif ini, pihak kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM20 bilion untuk merealisasikan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bagi memastikan keadaan ekonomi negara Malaysia tidak terjejas teruk akibat daripada penularan wabak COVID-19 ketika ini.


Post a comment

0 Comments